Press Here

Sunday, August 7, 2011

MEMBURU KEMANISAN IMAN

Sudah menjadi kewajipan bagi setiap Muslim memburu kemanisan iman.  Ia perlu dijadikan agenda utama dalam hidup mengatasi segala-galanya.  Bahkan jika disedari, pemburuan ini adalah agenda seumur hidup.  Kita hidup dengan iman, kita mati dengan iman dan kita pinta masuk ke dalam syurga juga dengan iman.

Kata pujangga, hidup dimulakan dengan tangisan, dicelahi oleh tangisan dan diakhiri dengan tangisan.  Maksudnya hidup ini penuh dengan masalah, kesukaran dan kepahitan.  Lihatlah betapa seorang bayi dilahirkan ke dunia dengan tangisan, apabila dewasa nanti hidupnya akan dicelahi oleh tangisan dan akhirnya dia akan mati lalu dihantar ke kubur juga dengan tangisan.

Dalam hidup yang sementara ini, kita dituntut mencari hati yang sejahtera.  Inilah kualiti hidup yang perlu dicari dan dinikmati.  Malangnya ramai yang pentingkan kuantiti harta berbanding kualiti jiwa.  Kualiti jiwa yang rendah menyebabkan timbulnya sifat mazmumah.  Ini akan menimbulkan masalah kepada pemiliknya dan orang lain.  Tanpa ketenangan tidak ada gunanya kesenangan....Harta, wang, kuasa dan pangkat tidak boleh ditukar ganti dengan ketenangan jiwa.  Sebaliknya kekurangan harta, rendahnya jawatan atau pangkat, dapat ditampung oleh ketenangan jiwa.  ...

Iman seseorang itu akan dapat menampung kekurangan pada diri setiap insan.  Ada enam perkara yang sangat penting dan kritikal dalam kehidupan manusia.  Jika keenam-enam perkara itu stabil, maka stabillah seluruh kehidupan.  Perkara-perkara itu ialah...:-
     1.     Kesihatan
     2.     Kewangan
     3.     Kerjaya
     4.     Ilmu Pengetahuan
     5.     Perhubungan 
     6.     Kekeluargaan
Jika semua perkara tersebut dapat di capai dan berada dalam keadaan stabil, maka kehidupan juga akan stabil.  Sungguhpun begitu, dalam realiti kehidupan adalah sangat sukar untuk mencapai kestabilan dalam semua perkara itu.  Jarang benar ada orang yang dapat mencapai semuanya.  Ada yang kaya tetapi kesihatan terganggu.  Ada pula kesihatannya baik tetapi ada masalah dengan perhubungan sesama anggota masyarakat. Begitulah lumrah dunia, tidak ada seorang manusia memiliki segala-galanya.

Bagaimanakah caranya untuk memburu kemanisan iman?  
Daripada Anas bin Malik r.a, bersabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:  " Tiga perkara apabila terdapat pada diri seseorang, ia merasai kemanisan iman; sesiapa yang cintanya kepada Allah dan Rasul lebih daripada cintanya kepada yang lain; sesiapa yang cintanya kepada orang lain hanya kerana Allah(dan bukan kerana suatu tujuan duniawi); dan ia membenci kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkannya (daripada kekufuran), sebagaimana benci akan dicampakkan ke dalam api." ( Riwayat Muslim)

Daripada hadis tersebut jelas menunjukkan orang yang merasai kemanisan iman mempunyai ciri-ciri berikut:

1. Cinta Allah dan Rasul-Nya Melebihi Segala-Galanya.
2. Mencintai yang lain kerana Allah.
3. Benci kembali kepada kekufuran.

Langkah Agresif Memburu Kemanisan Iman........
Para ulama tasawuf menyatakan, seseorang yang ingin merasai kemanisan iman hendaklah berusaha mengingatkan dua perkara serta melupakan dua perkara.....

Ingatlah dua perkara................
1. Kebaikan Orang kepada Kita
2. Kesalahan Kita kepada Orang

Lupakan dua perkara...............
1. Kebaikan kita kepada Orang
2. Kejahatan Orang terhadap Kita

Sayangnya, dalam kehidupan ini kita selalu bertindak songsang.  Apa yang perlu kita ingat, kita lupakan.  Apa yang perlu kita lupakan, kita ingat.....Akhirnya, kemanisan iman semakin tawar dan hambar dalam kehidupan kita.  Sampai ke tahap ada orang yang menafikan terus adanya kemanisan ini ada dalam kehidupan.....Hasilnya, manusia yang renggang dengan Allah akan renggang juga dengan sesama manusia.    Dan akhirnya, tidak ada lagi kemanisan dalam hidup di dunia ini akibat langsung daripada tidak ada kemanisan iman dalam hati manusia!


No comments: